Tuesday, March 31, 2009

Solat Khauf (Solat dalam Peperangan)

SEMBAHYANG KHAUF

Sembahyang Khauf ialah sembahyang semasa di dalam peperangan. Peperangan yang dimaksudkan di sini ialah peperangan yang diharuskan oleh Islam. Cara melaksanakan sembahyang Khauf ini ada berbagai-bagai-bagai cara, bergantung pada kemampuan seseorang dan keadaan ketika itu. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

a. Sembahyang ketika tidak berlaku pertempuran (waktu berjaga-jaga)

b. Sembahyang ketika berlaku pertempuran.


SEMBAHYANG KETIKA TIDAK BERLAKU PERTEMPURAN

Dalam masa peperangan tanpa sebarang pertempuran maka sembahyang hendaklah dilakukan mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat seperti sembahyang semasa aman. Walau bagaimanapun ketika sembahyang hendak didirikan, hendaklah dipastikan ada kumpulan yang berkawal untuk memastikan keselamatan. Setelah kumpulan yang pertama selesai menunaikan sembahyang maka kumpulan yang berkawal tadi pula mengambil giliran untuk menunaikan sembahyang dan tugas berkawal akan diambil alih oleh kumpulan yang pertama. Mereka boleh sembahyang berjemaah dengan imam yang sama atau imam yang lain.

Sekiranya cara seperti ini tidak boleh juga dilakukan dengan sebab-sebab keselamatan dan sebagainya, maka sembahyang berjemaah boleh dilakukan mengikut cara-cara berikut:

(1) Musuh Berada Di arah Kiblat (Cara Asfan)

Cara Asfan

Sekiranya musuh berada di arah kiblat maka sembahyang berjemaah boleh dilakukan mengikut cara yang dilakukan oleh rasulullah s.a.w ketika baginda berada di sat tempat yang bernama Asfan. Caranya adalah seperi berikut:

1. Jemaah berdiri sekurang-kurangnya dalam dua saf.

2. Tentukan giliran saf untuk berkawal dalam setiap rakaat secara bergilir- gilir.

3. Apabila hendak sujud pada rakaat pertama, saf yang ditugaskan berkawal pada rakaat pertama tadi tidak akan sujud bersama-sama imam bahkan hendaklah berdiri tegak semasa iktidal.

4. Apabila imam bangun daripada sujud untuk rakaat yang kedua, saf yang berkawal pada rakaat yang pertama tadi terus sujud dan bangun berdiri untuk menyempurnakan rakaat yang kedua bersama-sama imam

5. Apabila imam hendak sujud pada rakaat kedua maka saf yang ditugaskan untuk berkawal pada rakaat kedua tidak akan sujud bersama dengan imam bahkan hendaklah berdiri dan berkawal semasa iktidal.

6. Ketika imam duduk membaca tahiyat, maka saf yang berkawal akan sujud dan duduk membaca tahiyat bersama-sama dengan imam dan seterusnya menyempurnakan sembahyangnya sehingga selesai.

7. Cara yang sama dilakukan untuk sembahyang yang lebih dari dua rakaat seperti sembahyang Maghrib. Tugas kawalan boleh juga diberikan kepada saf yang ketiga, keempat dan seterusnya bergantung pada jumlah saf yang ada.

b. Syarat-syarat untuk melaksanakan sembahyang Khauf mengikut cara ini adalah seperti berikut:

1. Musuh berada di arah kiblat.

2. Tempat sembahyang hendaklah tinggi.

3. Bilangan musuh dianggap sedikit (tentera kita lebih ramai)

4. Musuh tidak kelihatan sebelum mendirikan sembahyang.

(2) Musuh berada bukan di arah kiblat (arah belakang)

Sekiranya musuh berada bukan di arah kiblat, maka sembahyang berjemaah boleh dilakukan dengan dua cara:

Berjemaah dengan seorang imam

Cara berjemaah dengan seorang imam ini adalah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di sebuah tempat bernama Zaatur Riqa` di daerah Najd dan Yaman. Caranya adalah seperti berikut:
a. Bahagikan jemaah dalam dua kumpulan yang sama banyak dan tentukan giliran untuk berkawal.

b. Pastikan tempat untuk berkawal dalam jarak antara 20 hingga 30 meter dari tempat sembahyang.

c. Kumpulan pertama akan berjemaah bersama-sama imam pada rakaat yang pertama. Apabila imam masuk ke rakaat yang kedua maka kumpulan pertama akan niat mufaraqah (niat tidak ikut imam) dan terus menyempurnakan baki rakaat sembahyangnya sehingga selesai dengan bersendirian. Ketika ini imam akan terus dalam keadaan berdiri (qiyam).

d. Apabila kumpulan pertama telah selesai memberi salam maka mereka akan menggantikan kumpulan kedua yang sedang berkawal untuk membolehkan kumpulan yang kedua tadi mendirikan sembahyang bersama-sama dengan imam yang sedang menunggu di tempat sembahyang.

e. Kumpulan kedua akan berjemaah bersama-sama dengan imam. Semasa imam membaca tahiyat akhir, kumpulan yang kedua akan terus berdiri untuk menunaikan rukun-rukun sembahyang dalam rakaat yang kedua secara bersendirian manakala imam akan menunggu dalam keadaan tahiyat.

f. Setelah semua jemaah selesai menyempurnakan rakaat yang kedua maka barulah imam memberi salam.

Syarat-syarat untuk melaksanakan sembahyang cara ini adalah seperti berikut:

a. Musuh bukan berada di arah kiblat.

b. Tentera musuh dianggap sedikit.

c. Tiada merasa aman atau selamat semasa mendirikan sembahyang.

d. Musuh tidak kelihatan sebelum mendirikan sembahyang.


Sembahyang cara ini dilakukan oleh rasulullah s.a.w ketika baginda berada di sebuah tempat bernama Batnul Nahli adalah seperti berikut.

1. Bahagikan jemaah kepada dua kumpulan yang sama banyak.

2. Tentukan giliran untuk berkawal.

3. Pastikan tempat untuk berkawal dalam jarak antara 20 hingga 30 meter dari tempat sembahyang.

4. Kumpulan yang pertama akan bersembahyang bersama-sama imam hingga selesai sementara kumpulan yang kedua akan berkawal di tempat yang telah ditentukan.

5. Apabila kumpulan pertama telah selesai sembahyang maka mereka boleh mengambil tugas berkawal untuk membolehkan kumpulan yang kedua mendirikan sembahyang.

6. Kumpulan ini boleh berjemaah dengan imam yang mengimamkan kumpulan pertama tadi. Sembahyang kali kedua bagi imam tadi adalah dihukumkan sunat dengan tujuan untuk meraikan jemaah kumpulan kedua. Walau bagaimanapun kumpulan kedua ini juga boleh berimamkan imam yang lain sekiranya ada.


SEMBAHYANG KETIKA BERLAKU PERTEMPURAN

Sembahyang ini dinamakan juga dengan sembahyang “Shiddatul Khauf” iaitu ketika berlaku pertempuran yang berpanjangan yang melibatkan waktu sembahyang, maka ketika itu boleh dilakukan mengikut kemampuan seseorang itu. Memadai menggunakan isyarat atau gerak hati dan di waktu sujud dan rukuk hendaklah diusahakan agar menundukkan kepada ketika sujud lebih rendah daripada rukuk sementara rukun-rukun lain boleh ditinggalkan sekiranya sukar dilakukan.

Sembahyang Shiddatul Khauf ini tidak disyaratkan untuk menghadap kiblat dan juga tidak perlu qada` apabila suasana telah aman.

Sekiranya seorang anggota sedang sembahyang tiba-tiba dia diserang oleh musuh yang memerlukan dia bergerak ke tempat lain untuk menyelamatkan diri, maka dia boleh meneruskan sembahyang dengan syarat berikut:

a. Tidak memutuskan niat sembahyang satu niat berhenti sembahyang ketika itu.

b. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang Shiddatul Khauf kecuali berlari atau bergerak dengan banyak.

c. Rukun-rukun sembahyang boleh dilakukan dengan isyarat menggunakan mana- mana anggota badan.

d. Sekiranya ketika itu telah beredar itu ia merasa selamat maka wajib ia menyempurnakan rukun-rukun sembahyangnya seperti biasa.
e. Haram membatalkan niat sembahyang ketika ini kecuali berlaku perkara-perkara yang membatalkan sembahyang Shiddatul Khauf.

Sembahyang Shiddatul Khauf ini boleh dilakukan sebanyak dua rakaat kecuali sembahyang Mahgrib hendaklah disempurnakan tiga rakaat. Ia tidak disyaratkan seperti syarat-syarat sembahyang Qasar tetapi ia dibolehkan berdasarkan kepada suasana peperangan ketika itu.

Sembahyang Dalam Keadaan Berjalan

Seorang anggota yang sedang berjalan kaki dan tidak boleh berhenti dengan sebab-sebab yang diharuskan seperti mengelakkan musuh dan sebagainya maka ketika dia berjalan itu boleh menunaikan sembahyang dengan syarat-syarat seperti berikut:

a. Permulaan takbir hendaklah mengadap kiblat.

b. Teruskan berjalan sambil melaksanakan rukun-rukun `qauli` (perkataan) semasa berjalan.

c. Ketika hendak melaksanakan rukun-rukun fi`li (perbuatan) seperti rukuk dan sujud maka dia hendaklah berhenti sekejap dan menghadap ke arah kiblat dan teruskan rukuk dan sujud.

d. Setelah selesai menunaikan rukun di rakaat pertama, ia boleh meneruskan perjalanan dan melaksanakan pula rukun-rukun qauli untuk rakaat yang kedua sambil berjalan. Apabila sampai waktu untuk melaksanakan rukun fi`li rakaat yang kedua maka dia hendaklah melakukan proses seperti mana di rakaat yang pertama tadi.

e. Tasyahud (tahiyat) boleh dilakukan sambil berjalan.

f. Sewaktu berjalan elakkan dari melakukan pergerakan yang banyak seperti berlari- lari, menghentak kaki, mengayun atau melenggangkan tangan.

g. Jangan sengaja memijak najis atau berjalan di tempat-tempat yang cemar,lembap dan bernajis. Walau bagaimanapun ini tidak diberatkan sangat hingga bersusah payah mengawal tempat yang sukar dielakkan terutama ketika berada di dalam hutan.

h. Sekiranya telah sampai di tempat yang dituju sedangkan sembahyangnya belum selesai maka dia hendaklah berhenti dan menghadap kiblat dan terus menyempurnakan sembahyangnya hingga selesai. Sekiranya ketika ini dia tidak menghadap kiblat maka sembahyangnya batal.

i. Ketika berjalan, rukun-rukun sembahyang boleh dilakukan dengan isyarat dari mana-mana anggota badan dengan syarat terlalu sukar untuk mengerjakan rukun-rukun tersebut seperti membawa bebanan yang berat dan sebagainya.

j. Sembahyang dikira batal sekiranya dia berhenti dengan sebab hendak membeli barang, berbual-bual, makan, minum, tidur atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang.


Sembahyang Ketika Mengejar Atau Dikejar

Seorang anggota yang sedang mengejar musuh dan takut kehabisan waktu sembahyang maka ketika itu dia boleh mengerjakan sembahyang dengan cara isyarat walaupun sedang berjalan dan tidak ke arah kiblat. Hukum ini sama juga dengan orang yang sedang berlari menyelamatkan diri atau keluarga atau harta bendanya daripada mendapat sebarang bencana sama ada dari musuh, binatang buas ataupun banjir.

Sembahyang Menghormati Waktu

Sembahyang ini didirikan oleh seorang yang terhalang oleh sesuatu sebab sehingga dia tidak boleh melaksanakan rukun-rukun sembahyang seperti biasa. Sembahyang ini pada umumnya dilakukan syaratnya.

Keadaan yang menghalang ini seperti berada di dalam kenderaan atau kapal terbang yang tidak menghadap kiblat, sukar untuk berwuduk kerana ketiadaan air atau tayamum seperti tersangkut di atas pokok atau terperangkap di dalam lubang batu. Tiada kain untuk menutup aurat ataupun ketika berada di dalam tahanan yang tidak ada peluang untuk bergerak.

Apabila seseorang itu berada di dalam suasana di atas maka dia boleh mendirikan sembahyang dengan cara yang mampu, mungkin sama ada dengan isyarat atau gerak hati sekadar untuk menghormati waktu sembahyang ketika itu.

Perlu diingatkan bahawa apabila seseorang itu mendirikan sembahyang menghormati waktu maka ini tidak bermakna telah terlepas daripada tanggungjawab melaksanakan sembahyang tersebut bahkan dia perlu menggantikannya (qada`) apabila keadaan telah tenang atau pulih seperti sedia kala.

No comments:

Post a Comment