Friday, April 3, 2009

TINJAUAN AMALAN TAREQAT KEPERLUAN, KRITIKAN DAN HARAPAN

Syaikh Zakaria Al-Kandahlawi di dalam kitabnya “Al-Syari’at Wa Al-Tareqat” berkata:

الطريقة في الواقع هي اسم ثان للاحسان المذكور (أي في قوله صلي الله عليه وسلم)
او انها الطريقة التي يمكن بها الحصول علي صفة الاحسان , وهو الذي يقول له التصوف او السلوك.

Tareqat sebenarnya adalah nama lain daripada Ihsan (iaitu yang disebut di dalam hadith Rasulullah SAW) atau ia merupakan jalan yang dengannya dapat diperolehi sifat Ihsan, dan ia juga dinamakan tasawwuf atau suluk.

Beliau juga telah menceritakan bahawa datuk beliau, Syaikh Muhammad Ismail Al-Kandahlawi, ketika menyatakan keinginannya untuk memperoleh sebahagian taklimat tentang tareqat daripada Imam Al-Kankuhi, maka Imam Al-Kankuhi bertanyakan beliau:

هل الاعمال التي تحافظ عليها هذه حصلت لك فيها درجت الاحسان؟

“Apakah amalan-amalan yang anda pelihara ini mencapaikan anda kepada martabat Ihsan?” Beliau menjawab: “نعم, حصلت “Ya, tercapai.”

Al-Kankuhi berkata:

اذن فلا حاجة لك الي اية تعليمات, لان الاشتغال باشغال الصوفية بعد الحصول على مرتبة الاحسان مثله كمن يدرس كتاب "كريما" (وهى الكتاب التى تدرس فى الابتداءية اللغة الفرسية ) بعد ان يكون قد فرغ من دراسة كتاب "كلستان بوستان" (من كتب الادب الكبيرة فى اللغة الفرسية), وهذا ظاهر ان هذا فيه تضييع محض للوقت, لذا فان اشتغا لك باشغال المشا يخ ما هو الا تضييع محض للوقت , لذا فان اشتغالك باشغال المشايخ ما هو الا تضييع للوقت ومعصية.

“Jika demikian, maka anda tidak memerlukan sebarang taklimat, kerana menyibukkan diri dengan kerja-kerja sufiyyah setelah memperoleh martabat Ihsan adalah seumpama orang yang mempelajari kitab “Krima” (iaitu kitab bahasa Parsi yang dipelajari di sekolah rendah) setelah selesai mempelajari kitab “Kalstan Bustan” (iaitu yang termasuk kitab kesusasteraan Parsi yang besar). Yang demikian adalah jelas membuang masa. Kerananya menyibukkan diri anda dengan kerja-kerja masyayikh hanyalah perbuatan membuang masa dan ia merupakan maksiat".


Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum Al-Din, menerangkan bahawa ilmu jalan ke akhirat itu ada dua bahagian, iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mu’malah.

Ilmu mukasyafah ialah apa yang dituntut daripadanya sekadar mengetahuinya saja dan tidak ada keizinan untuk menyimpannya di dalam kitab-kitab, meskipun ia merupakan puncak yang dituju oleh para penuntut dan menjadi hasrat pandangan para siddiqin, kerana ia adalah ilmu batin yang menjadi tujuan terakhir segala ilmu. Adapun ilmu mu’amalah, ia merupakan jalan kepadanya.

Para nabi tidak menerangkan kepada orang ramai melainkan mengenai ilmu yang merupakan jalan atau petunjuk kepada ilmu mukasyafah. Adapun mengenai ilmu mukasyafah itu sendiri, maka mereka tidak menerangkan mengenainya melainkan dengan menggunakan simbol-simbol dan isyarat sebagai memberi contoh dan kesimpulan, kerana mereka mengetahui ceteknya kefahaman orang ramai untuk mencernakannya. Para ulama adalah pewaris nabi, maka tidak ada jalan bagi mereka untuk berpaling daripada mengikuti jejak para nabi tersebut.

Ilmu mukasyafah ialah ibarat cahaya yang muncul di dalam hati ketika dibersihkan dan disucikan daripada sifat-sifatnya yang tercela, yang dengan sebabnya tersingkap banyak perkara yang sebelumnya hanya didengar nama-namanya dan digambarkan maknanya secara mujmal, tidak jelas. Maka dengan cahaya yang muncul tersebut menjadi jelas sehingga diperoleh ma’rifat yang hakiki atau sebenarnya mengenai zat, af’al dan sifat-sifat Allah yang kekal lagi sempurna, mengenai hikmat penciptaan dunia dan akhirat, mengenai erti kenabian dan nabi, erti syaitan, cara permusuhan syaitan terhadap manusia, cara pertembungan tentera malaikat dengan tentera syaitan di dalam hati, mengenal perbezaan antara bisikan malaikat dengan bisikan syaitan, mengenal akhirat, syurga, neraka, azab kubur, sirat, mizan, hisab dan sebagainya.

Dengan ilmu mukasyafah dimaksudkan terangkatnya tirai yang menutupi sehingga jelas yang hak atau yang sebenarnya dalam semua perkara tersebut sejelas memandang atau melihatnya dengan mata, di mana tidak ada keraguan lagi. Hal yang demikian adalah mungkin bagi diri manusia, jika cermin hatinya tidak lagi diselaputi oleh karat yang tebal daripada kotoran dunia.

Sesungguhnya yang dimaksud dengan ilmu jalan ke akhirat ialah ilmu mengenai cara menggosok cermin hati tersebut dan membersihkannya daripada kotoran-kotoran yang menjadi dinding penghalang daripada Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af’alNya. Cara membersihkan dan mensucikannya adalah dengan mencegahnya daripada mengikuti hawa nafsu atau syahwat, dan dengan mengikuti jejak para nabi a.s. dalam segala keadaan mereka. Maka mengikut kadar yang menjadi terang daripada hati yang mengarah kepada yang hak, nescaya akan menjadi terang pulalah hakikat-hakikatnya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan dan dengan ilmu dan pengajaran.

Adapun ilmu mu’malah, yang merupakan jalan kepada ilmu mukasyafah, terbahagi kepada dua bahagian: pertama, ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan; dan ia terbagi kepada adat dan ibadat. Kedua, ilmu batin, iaitu yang berkaitan dengan amalan hati atau dengan sifat-sifat yang ada di dalam hati yang juga terbagi kepada yang terpuji dan yang tercela.

Yang terpuji daripada sifat-sifat hati, seperti sabar, syukur, takut, harap, reda, zuhud, taqwa, qana’ah (menerima dan reda dengan apa yang diberi oleh Allah dalam segala keadaan), ihsan, baik sangka, baik pergaulan, jujur dan ikhlas. Mengenali hakikat sifat-sifat ini, batasan-batasannya, sebab-sebabnya yang dengannya ia diperoleh, buah atau natijahnya, tanda-tandanya, cara mengubati yang lemah daripadanya dan cara mengembalikan yang hilang daripadanya adalah termasuk ilmu jalan ke akhirat.

Adapun yang tercela daripadanya, seperti takut kefakiran, dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila pengaruh, gila kuasa, suka dipuji, sombong, riya’, pemarah, keras kepala, permusuhan, benci, tamak, kikir, angkuh, kufur nikmat, mengagungkan orang kaya, bangga, menganggap diri mulia, malu menerima kebenaran, sibuk dengan kecacatan atau kekurangan orang lain sehingga lupa kecacatan atau kekurangan diri sendiri, ‘ujub, nifaq, cintakan dunia, cinta harta, gopoh, tidak mempunyai perasaan malu, kasar hati, tidak mempunyai perasaan belas kasihan, lalai dan sebagainya. Sifat-sifat tersebut dan yang seumpamanya daripada sifat-sifat hati yang tercela ini merupakan tempat tersemainya kekejian dan tempat tumbuhnya segala macam perbuatan yang dilarang. Adapun lawannya, iaitu sifat-sifat yang terpuji merupakan sumber segala perbuatan taat dan ibadat atau pendekatan diri kepada Allah. Maka ilmu tentang batasan-batasan segala sifat-sifat ini, hakikat-hakikatnya, sebab-sebabnya, buah atau natijahnya dan cara mengubatinya merupakan ilmu jalan akhirat, dan merupakan ilmu fardhu ‘ain, mengikut fatwa para ulama akhirat.

No comments:

Post a Comment